Membincangkan tentang isu pendidikan seks perlu atau tidak ia diajar di sekolah?
Jika tidak, siapa yang perlu memberi khidmat tersebut? Nampaknya masyarakat kita begitu sensitif dengan perkataan pendidikan seks sehingga istilahnya terpaksa ditukar untuk mengelakkan tentangan dari ahli masyarakat terutamanya ibubapa. Malangnya, pertukaran istilah itu tidak memberikan gambaran sebenar tentang maksud sebenar yang ingin diketengahkan oleh penganjur. Mungkin juga ini berlaku kerana penganjur mengetahui kepentingan pendidikan seks sengaja menukar istilah itu agar pendidikan seks akhirnya diterima oleh masyarakat kita. Tetapi, wajarkah pertukaran istilah itu dibuat semata-mata untuk mengaburi mata orang kebanyakan?
Bagi orang kebanyakan pula, tidakkah anda merasa terhina bila mengetahui bahawa istilah pendidikan zuriat itu sebenarnya pendidikan seks yang ditukar istilahnya bagi menjamin penerimaan masyarakat sekeliling?
Itulah keadaannya dalam masyarakat kita. Setelah bertahun-tahun kita berbincang tentang keperluan mengadakan pendidikan seks di sekolah, ia masih belum diterima sepenuhnya. Walaupun ramai yang mengakui keperluan pendidikan seks kepada anak-anak, tetapi masih ada ibubapa yang marah apabila mengetahui pendidikan seks diajar di sekolah.
Kemarahan ini wujud kerana ibubapa bimbang sekiranya anak-anak diajar tentang pendidikan seks, rasa ingin tahu mereka tentangnya akan membuak-buak, lantas dengan ilmu yang mereka perolehi itu, mereka akan mencubanya sendiri.
Walau bagaimanapun, ada ibubapa yang merasa lega jika sekolah dapat memberikan pendidikan seks ini kepada anak-anak mereka. Ini kerana mereka sendiri tidak tahu bagaimana untuk menerangkannya di samping wujudnya rasa malu untuk menerangkan perkara tersebut. Jadi, jika tugas itu dapat diambil oleh pihak sekolah, ibubapa ini amat mengalu-alukannya. Ia bukan sahaja dapat meringankan beban mereka tetapi juga memastikan bahawa anak-anak mendapat ilmu yang berkaitan dari sumber-sumber yang bertangungjawab dan bukannya bergantung kepada majalah, internet atau rakan sebaya.
Kebimbangan tentang anak-anak akan bereksperimen dengan ilmu yang mereka perolehi dari pendidikan seks ini sepatutnya tidak berlaku. Ini terbukti bila mana banyak perkara yang kita belajar di sekolah tetapi ia tidak menyebabkan kita mencubanya. Misalnya, di sekolah kita diajar tentang tenaga elektrik, tetapi tiada seorang murid pun yang melakukan eksperimen dengan perkara ini dengan cara yang boleh memudaratkan mereka. Ini kerana mereka bukan sahaja diajar tentang tenaga elektrik dan kegunaannya, tetapi juga tentang potensinya untuk mendatangkan mudarat. Malah, pelajar juga diajar tentang langkah berjaga-jaga dalam menangani tenaga eletrik agar ia tidak memudaratkan. Dengan ilmu yang menyeluruh tentang sesuatu perkara seperti ini, para pelajar akan terbimbing dengan apa yang boleh dan tidak boleh dalam berhadapan dengan sesuatu elemen yang dipelajari.
Kita sepatutnya melihat isu pendidikan seks ini dari perspektif yang sama. Pendidikan seks bukan hanya mengajar anak-anak bagaimana melakukan hubungan seks. Tetapi ia merangkumi ilmu-ilmu lain yang sehubungan dengannya seperti fungsi reproduktif manusia, penjagaan kesihatan, bila masa yang sesuai untuk melakukannya, kesan-kesan darinya dan berbagai perkara lagi. Dengan mengetahui segala-galanya ini, mereka akan menjadi lebih terbimbing apabila berhadapan dengan seks dan seksualiti.
Termasuk di dalam pendidikan seks ini ialah pengajaran tentang nilai-nilai yang seharusnya wujud bersama hubungan seks tersebut. Misalnya, nilai masyarakat Malaysia bahawa hubungan seks hanya patut berlaku selepas berkahwin, juga hubungan tersebut perlu disertakan dengan rasa kasih sayang, tanggungjawab dan seumpamanya.
Bagi mereka yang menyokong idea agar pendidikan seks diajar di sekolah, selain merasakan ilmu tersebut perlu, mereka juga merasakan jika tidak diajarpun, anak-anak itu akan memperolehnya dari sumber-sumber yang lain seperti internet dan rakan sebaya.
Sehubungan dengan isu pendidikan seks ini, Islam melihat orang lebih sesuai untuk melakukannya ialah ibubapa sendiri. Dalam buku yang bertajuk Pendidikan Anak-anak Dalam Islam yang ditulis oleh Abdullah Nasir Ulwan, beliau menyebut bahawa pendidikan anak-anak dalam Islam ini meliputi tujuh komponen dan salah satunya ialah pendidikan seks. Adalah menjadi tanggungjawab kedua ibubapa untuk memberikan pendidikan seks ini kepada anak-anak mereka.
Pendidikan seks ini perlu diberi secara bertahap mengikut perkembangan umur anak-anak. Misalnya, pada usia 7-10 tahun anak-anak perlu diajar tentang adab meminta izin dan adab-adab penglihatan. Pada usia 10-14 tahun pula, mereka perlu dijauhkan dari perkara-perkara yang boleh menimbulkan nafsu berahi. Pada usia 14-16 tahun, mereka perlu didedahkan kepada adab-adab perhubungan seks. Pada usia baligh/dewasa mereka perlu diajar untuk memelihara diri terutamanya bagi anak-anak yang belum mampu untuk berkahwin.
Jadi, kita dapati dalam Islam pendidikan seks itu bukan bertumpu kepada cara-cara melakukan hubungan seks semata-mata tetapi juga banyak perkara lain lagi seperti pemeliharaan diri dari melihat perkara-perkara yang boleh meransang nafsu, juga cara untuk memelihara diri dari melakukan seks di luar perkahwinan, kesucian diri dan sebagainya.
Bagi ibubapa yang merasa tidak selesa untuk membincangkan hal ini dengan anak-anak, belikan mereka buku yang bersesuaian untuk mereka baca (dan kemudian bincangkan bersama). Ini kerana ada banyak perkara yang perlu diketahui oleh mereka berkaitan seks dan seksualiti selain dari cara-cara melakukan hubungan seks. Misalnya, mereka perlu tahu tentang risiko penyakit kelamin yang berjangkit akibat dari hubungan seks yang kasual.
wahai rakan-rakan, adakah wajar pembelajaran seks di sekolah?
ReplyDeleteAssalamualaikum,untuk pengetahuan saudari,pada pendapat saya,pendidikan seks hanya wajar diajar di sekolah-sekolah menengah tetapi tidak di sekolah rendah.Hal ini kerana,kanak-kanak seawal 7-12 tahun belum cukup matang untuk menilai mana yang baik dan mana yang buruk untuk mereka.Bagi saya,pendidikan seks bagi kanak-kanak tidak wajar tetapi teraplah ilmu agama sebanyak mungkin dalam diri mereka.
ReplyDeleteNUR NADIAH BINTI MOHD HISAMUDIN
A137103
wslm..terima kasih atas pendapat anda. Saya pun rasa begitu. Selain itu, ibu bapa tidak harus malu untuk menceritakan perkara ini kepada anak-anak mereka agar mereka tidak merasa seperti rusa masuk kampung apabila ustaz atau guru membincangkan perkara ini disekolah.
ReplyDeleteNUR HIDAYAH BINTI RADZI
A138031
Assalamualaikum.. Pada pandangan saya pendidikan seks wajar diajar kerana pelajar akan mengetahui kepentingan memperkembangkan zuriat secara sah dan juga guru-guru akan menceritakan keburukan dan kesan sampingan apabila pelajar-pelajar melakukan seks secara rambang.. Sepatutnya pemikiran masyarakat harus lebih terbuka dan tidak menyempitkan skop pemikiran tentang isu pendidikan seks ini.. Banyak ilmu yang mereka perolehi dari kelas ini.. Kebanyakan masyarakat malu untuk membincangkan berkaitan hal ini menyebabkan banyak hal yang penting seperti kesan melakukan seks kasual boleh menyebsbkan penyakit kelamin berjangkit.. Oleh itu, pendidikan seks ini wajar dilaksanakan jika semua masyarakat memandang ke arah yang positif.. :)
ReplyDeleteAQILAH BT MOHD TAJUDDIN
A138157
Assalamualaikum..Pada pendapat saya, pendidikan seks wajar diajar di sekolah kerana pengetahuan ini penting dalam kehidupan pelajar. Pendidikan ini juga perlu kerana pelajar harus didedahkan terhadap perkara ini supaya mereka tidak terjebak dengan perkara-perkara yang tidak elok berkaitan seks seperti seks rambang.
ReplyDeleteFILZATUS SYAMILA ABDUL WAHID
A137505